Memaparkan catatan dengan label LAIN-LAIN PUISI YANG TERSIAR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LAIN-LAIN PUISI YANG TERSIAR. Papar semua catatan

Bingkisan Aidilfitri

 Karya: Norgadis Labuan


Waktu berdetik irama beralun lembut
Ramadhan berlalu penuh keinsafan
bertapa kerdilnya diri
disamping Dia yang maha pengasih lagi penyayang.

Kini
irama Aidilfitri menjelang tiba
anak-anak belari keriangan     
bersama pakaian serba baru yang mengasyikan.

Disana sini terdengar riuh rendah
jabat disambut penuh mesra
sambil kunjung mengunjung sanak saudara
tanda kemenangan melalui bulan mulia.

Pusara di Aidilfitri sedikit tidak dilupa
untuk menyedarkan bahwa kita bakal ke sana

menemui Allah yang maha berkuasa.



Tersiar di Labuan FM 09 Ogos 2013

Kehilangan Di Aidilfitri

Karya: Norgadis Labuan

Aidilfitri ini
tidak sama
seperti aidilfitri yang lalu
meski tetap berpakaian baru
hidangan raya sama disedia
namum
aidilfitri kali ini aku merasa kehilangan.

Aidilfitri tahun dahulu
seawal pagi lagi
aku mencium tangan mama memohon keampunan
memeluknya dengan penuh kasih sayang
tapi sekarang
aku hanya mampu menziarahi pusaranya
mengusap nisan miliknya
dan menghadiahkan A-Fatihah buatnya.

Luruh hatiku ini
bertapa aidilfitri ini
aku merasa kehilangan
aku merasa kekurangan
tanpa pelukan mama
tanpa ciuman mama
dipagi aidilfitri.

Aku rindu padamu mama
tunggulah aku di mahligaimu
aku pasti akan datang
dan aku pasti akan menemanimu nanti
bersama bidadari-bidadari syurga
yang kini menemanimu sebelum aku tiba.


Al-Fatihah buat mama. 


Tersiar di Labuan FM 09 Ogos 2013

Surau Kecil

Karya: Norgadis Labuan

Kedengaran azan maghrib berkumandang
kenangan tiga puluh tahun yang lalu
menyapaku
saat anak-anak bersedia
menikmati hidangan berbuka puasa
keceriaan terpamir nyata.

Surau kecil itu
melimpah keluar oleh jemaah
solat terawih berjalan sempurna
lantang kedengaran suara orang bertadarus
anak-anak patuh
mengikut rentak.

Hari ini
kulihat
azan maghrib sudah lama berlalu
namun
anak muda masih leka
bermain gitar di perhentian bas
bersembang kosong di tepi jalan.

Surau kecil
diisi usia emas yang taat
masih bersama berbuka puasa
berterawih dan bertadarus.

Kemana perginya kesetiaan?
kasih sayang yang diwarisi
mencintai agama
merindui tuhan yang satu
menyayangi surau kecil
yang pernah

kami dirikan satu ketika dulu.



Tersiar di Labuan FM 26 Julai 2013

Kasih Yang Hilang

Hasil Karya: Norgadis Labuan

Ramadhan ini
mengingatkan aku kepadanya
dulu aku sering dibelai.

Tika kumenangis
tangan lembut mengusap pipiku
tangan lembut jua menyikat rambutku.

Tiada keluhan
tiada kemarahan
dia
tersenyum memandang wajahku
dan terpenjara disudut memoriku.

Aku bingung
apakah engkau sudah tiada
apakah kasih sudah hilang
atau akukah yang buta
asyik pandang wajah serupa
tapi berbeza lakunya.

Tika dulu
Kalau kita berbuka puasa bersama
nasi disuapkan ke mulutku
rasa cinta dulu menebal dihatiku
segalanya terbayang sungguh indah.

Gerhana  mendatang
gagah kelihatan
gelap gulita
hujan menyiram hatiku
dingin dijiwa.

Insan sepertiku
tidak mampu keserongan
sendiri sakit terasa
sayang entah ke mana
saling berbeza dari kenyataan yang nyata.

Apakah kau bukan dia
apakah kau tiada cinta
apakah kau tidak merasa
bahawa aku masih berharap.

Nostalgia tinggal memori
di saat negara semakin maju
ibu ayah seperti tiada masa
namun anak-anak seperti aku
kian terabai
dan aku
bersendirian menjalani ramadhan ini.



Tersiar di Labuan FM 26 Julai 2013

RAMADHAN TERAKHIR

Karya: Norgadis Labuan

Tidakkah kau lihat
bertapa sayunya sya’aban meninggalkanku pergi
dan kini
Ramadhan pula menyapa diri.

Apakah Ramadhan juga akan meninggalkan aku
atau aku yang akan meninggalkan Ramadhan
bersama syair rindu yang syahdu mendayu
mengiringi pemergian sebuah hati sepi.

Andaiku tahu ini Ramadhan terakhirku
tak kan kubiarkan siangku tanpa zikir memuji-Mu
tak kan kubiarkan malamku tanpa sujud kepada-Mu
tak kan kubiarkan subuhku tanpa memohon keampunan terhadap-Mu.

"Innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam.

Namun
aku tak pernah tahu
apakah setiap nafas yang kusedut
dan setiap nafas yang kuhembus
setiap langkah kakiku
dan setiap pandanganku
akan mengisi hari-hari akhir
andainya Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagiku.

aku hanyalah insan biasa yang serba kekurangan
dan aku hanya mampu berserah kepada-Nya
agar Ramadhan ini bukannya yang terakhir buatku.

Tersiar Di Labuan FM 12.07.2013

MASIH BOLEH BERSAMA


Karya:  Norgadis Labuan

Masih lagi kuingat
sewaktu kita berjuang
menerokai tempat ini bersama
membersih hutan belukar
agar menjadi kebun kebahagian
pembayar keletihan kita
pengubat luka yang tercalar.

Masih lagi kuingat
saat kita menyatukan anak-anak kita
di mahligai kayangan.
hasrat kita ditentang habis-habisan
kerana perbezaan
agama, bangsa dan kepercayaan.

Masih lagi kuingat
tika kita dicaci hina dan dibenci.
kita dipulaukan dan dihalau
dan akhirnya,
kita merantau bersama
sehingga sampai di pulau impian.

Masih lagi kuingat
dengan rasa susah payah
kita bangun bersama
dan mencipta sejarah
bahawa kita,

Masih boleh bersama
sebumbung
setanah
sepulau kasih
dalam erti kata
perpaduan.


Tersiar Labuan FM 9 Mac 2012



3 APRIL INI


Karya: Norgadis Labuan

Dalam pelarian waktu yang singkat ini
dan dikala mentari beradu di kaki langit
dan dikala usiaku yang semakin singkat
mampukah aku menganyam semangat
untuk kuhampar tikar harapan
agar aku terus bisa memeluk puteri-puteriku
dan mengucup mesra tangan suamiku
sebelum aku dibungkus rapi
dengan selendang putih peneman diri

3 april ini
kulakarkan sebuah puisi
bukan sebagai hamba seni
bukan jua meminta simpati
namun
aku kini mula sedar dari kealpaan
setelah cuba menelaah diri
bertapa rentetan perjalanan  hidup
mula menghimpit bersama dosa-dosa lalu
sakit dan perit
bagai luka berdarah merah

Dalam pelarian waktu yang singkat ini
masih adakah ruang untukku
menghimpun indahnya zikrullah
melagukan ayat-ayat suci-Mu
menggengam mahligai iman
bersama kejernihan air mata taubatku
sebagai pengiring menyahut seruan-Mu.




03 April 2011
12.39 pagi

BICARA BAHASA

Karya: Norgadis Labuan

Ingin kuberkata
meski hanya dalam sajakku
ingin kuberbicara
walau hanya dalam puisiku
inginku kubersuara agar bahasa kekal berdaulat
inginku berjuang mempertahankan kemuliaan bahasa
agar tiada anasir menghina, mencabar dan menghancur
kesucian bahasa yang murni.

Kini remaja tak kenal bahasa
kini si ibu lupa bahasa
kini si bapa malu berbahasa
jangan sampai kotaku hilang bahasa.

Ingin kulihat anak muda fasih berbahasa
ingin kupandang mesyarakat cintakan bahasa
ingin kunikmati perpaduan kerana bahasa
ingin kurasa bahasa jiwa bangsa
mengharum kembali segemilang sejarah melayu.


Tersiar Di WADAH Jun 2011

AKHIRNYA KAU PERGI JUA

Andainya kau masih disisi
inginku labuhkan bahtera
agar aku bisa berdayung bersama
dan dibuai gelora cinta tak bertepi.

Andainya kau masih disisi
inginku terbang ke langit
agar aku bisa menikmati indahnya kayangan
sambil bersanding di istana Mahkota.

Andainya kau masih disisi
inginku mengembara melihat keindahan alam
agar kita bertambah mesra
sambil menatap dan mengusap lembut wajahmu.

Tapi sayang...
akhirnya kau pergi jua
meninggalkan aku sendiri di kamar sepi
menangisi kepergianmu tanpa relaku
namun disudut hatiku
aku masih lagi menyayangimu aduhai laptop acerku.

15/09/2010

Saat Aku Jadi Pengantin

Karya: Norgadis Labuan

Saat aku jadi pengantin,
aku dimandikan seluruh tubuh,
aku digosok mesra sebersih-bersihnya,
aku disucikan sesuci sucinya.

Saat aku jadi pengantin,
aku dipakaikan gaun putih,
gaun putih yang penuh dengan wangian,
berlapis-lapis dengan sempurna.

Saat aku jadi pengantin,
aku dimahkotakan dikepala,
aku berkalung dibadan,
dan aku bergelang kaki.

Saat aku jadi pengantin,
aku diusung dan diarak menuju pelamin,
pelamin tempat aku beradu,
beradu bersama pasanganku.

Saat aku jadi pengantin,
saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai,
menghantar aku buat kali terakhir,
bersama wajah yang pelbagai,
tenang, sabar, ikhlas, duka, sayu, kecewa dan tangis,
penuh warna warni.

Saat aku jadi pengantin,
aku menunggu penuh debar,
pabila kadi liang lahat,
berjabat mesra dengan pasanganku,
yang disaksikan tiang-tiang nisan,
penuh makna dan rahsia.


TINTA 2009 SMK MUTIARA

MISTERI AIDILFITRI

Karya: Norgadis Labuan

Sayup kedengaran suara takbir dipagi hari
tanda ramadhan ditinggal pergi
lantas syawal menyapa diri
diiringi gema mendayu mengusik hati.

Aidilfitri kini disambut ceria
Seluruh pelusuk desa cukup gembira
tanda kemenangan sebulan kita berpuasa
mengikat diri dari segala dosa.

Riang hatiku tidak terkira
pulang ke desa kampung tercinta
tak sabar hati bertemu bonda
bertahun lamanya tidak berjumpa.

Saat syawal menjelma kini
nostalgia Aidilfitri tersimpan misteri
mengamit memori didalam diri
ada yang pergi tidak kembali.

Dalam keriangan dipagi ini
ada kesedihan menghempas diri
pabila bonda tidak kutemui
hanya pusara menyambutku kembali.

Hari lebaran hari gembira
namun hatiku tersemat duka
perginya bonda kupanjatkan doa
agar dirinya aman dan bahagia
disisi Allah yang maha kuasa.


September 2009
RTM Labuan FM

Pantun Lambaian Teluk

Karya: Norgadis Labuan

Dialog Teluk dari Labuan,
Dirintis oleh PERWILA Labuan,
ASTERAWANI terpikat terus berkenan,
Lantas dibuat di Bandar Seri Begawan.

Setelah Brunei berdialog bersastera,
Limbang pula meneruskan karya,
Berkampung di sana membawa sejahtera,
Badan Seni Budaya cukup bergaya.

BAHASA pula ada cerita,
Tak mau terlepas berdialog bersama,
Kota Kinabalu tempat melangsungkan acara,
Sungguh gemilang amat terasa.

MBSS Sabah penuh semangat,
Di Pekan Sipitang dialog dibuat,
Penulis, pengarang, jauh dan dekat,
Karyawan, budayawan penuh beradat.

Bukan dipugai, dipukau, disantau,
Lambaian teluk membawa ke sini.
Teluk Pemangkin Persaudaraan Serantau,
Tema dialog teluk ke VI ini.


November 2008
Buku Aturcara Sempena DITEL VI 2008)

Lambaian Teluk

Karya: Norgadis Labuan

Lambaian Teluk
Memanggil dirimu
Hadir…
Berkunjung
Sebagai tetamu pulau
Berkampung berhimpun
Mengumpul makna dialog
Berbicara, berkata, berfikir
Dalam penuh pengertian
Dalam penuh persefahaman

Lambaian Teluk
Bersatu dalam satu persamaan
Terungkap dalam satu kehebatan
Menyusur satu haluan
Membina cinta dalam kesenian.


November 2008
Buku aturcara DITEL VI 2008

Aku Benci Padamu

Hasil Karya : Norgadis Labuan

Kau teman
kau kekasih
kau sahabat
kau penawar
kaulah ubat

Kau musuh
kau pengkhianat
kau penipu
kau racun
kaulah penyakit

Aku benci padamu
DADAH

Tempat ke tiga pertandingan menulis puisi anjuran PERWILA