Ibu

Karya: Norgadis Labuan

Ketika kurenung saat lena ibuku
matanya yang terpejam itu
dan bibirnya yang bagai tersenyum itu
memanggil kenangan saat ibu terjaga.

Ibu membebel bising
tika mengejutkan ku
kerana malas bangun bersolat subuh
ibu membebel geram
kerana aku belum mandi pagi
sedangkan hari semakin cerah
ibu membebel separuh marah
kerana aku masih lagi menghadap komputer
sedangkan bas sekolah hampir tiba.

Aku masih ingat lagi
saat ibu marah-marah
kerana aku malas belajar
sedangkan peperiksaan sudah bermula
aku masih ingat lagi
saat ibu tidak membenarkan menyentuh komputer
kerana aku chat dengan kawan sampai pagi
aku masih ingat lagi
saat ibu rampas telefon bimbitku
kerana bil hampir satu ribu.

Tika ini kurenung ibu
ibu terus lena
matanya yang terpejam itu
akan terus terpejam
bibirnya yang bagaikan tersenyum itu
tidak akan membebel lagi
kerana ibu akan dibuai lena yang panjang
bersama mimpi indah-indah
dan meninggalkan aku yang masih jaga.


Ibu
aku rindu padamu
saat kau memelukku
dan mengusap rambutku
kerana aku dalam kesedihan
aku rindu padamu
saat kau memberi penawar
sewaktu ku sakit demam
aku rindu padamu
saat kau menanamkan kata semangat
sewaktuku putus cinta.

Ibu
maafkan aku
kerana belum sempat
membahagiakanmu
maafkan aku ibu.


23 dis 2008
ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009
RTM LABUAN FM 9 MAC 2012

10 ulasan:

mannromeo berkata...

adoi kak..tiba-tiba teringat kat emak di kampung..huhuu

Norgadis Labuan berkata...

@mannromeo.
Kalau ingat selalu lagi elok tu...

Salikin berkata...

selamat hari ibu…sdihnyer …makkkkkk kkkk

Norgadis Labuan berkata...

Salikin nangis...
Kasihannya...huhuhu

HaiDa-HiDa berkata...

"ibu.. ibu.. engkaulah ratu hatiku"

tak terbalas jasa dan pengorbanan ibu terhadap kita anak2.. sesungguhnya ibu adalah anugerah yg paling berharga.. hargailah ibu..

Norgadis Labuan berkata...

Salam Haida...
Hargailah ibu sebelum terlambat...

HaiDa-HiDa berkata...

wsalam kak..

betul tu.. tiba2 terasa sebak.. berkaca gak la mata ni bila bercakap berkenaan ibu dan ayah.. kebetulan lak ni, lagu ayah dan ibu keudara..

Norgadis Labuan berkata...

Haida…
Kadang2 kita hanya mengingat ketika org tua marahkan kita, tapi kita selalu lupa bahawa jasa mereka amat tinggi nilainya… bila kesedaran dalam diri timbul, itu yang sebak dan keluar air mata tu…

HaiDa-HiDa berkata...

insya'allah.. saya sentiasa berdoa moga2 kami adik beradik mendapat kesedaran itu berpanjangan..

Norgadis Labuan berkata...

Alhamdulillah, itulah yang kita harapkan bersama. Moga kesedaran sentiasa berpanjangan