Pesan

Karya: Norgadis Labuan

Berpuisikah aku andainya kuberkata
bertasbih guruh tunduk takut kepada-Nya
berzikir malaikat memuji keagungan dan kebesaran-Nya
serta memohon sepenuh keampunan
agar insan beriman bernama manusia
terus masuk ke dalam Aden yang kekal selamanya
sesungguhnya demikian itu amat mudah bagi-Nya.

Berpuisikah aku andainya kuberbicara
tentang langit telah dihias
bintang-bintang menjadi pelita bertaburan
manakala tahi-tahi bintang itu
untuk pelempar syaitan-syaitan durjana
bukankah Ia maha berkuasa.

Berpuisikah aku andainya ucapku terlafas
nescaya tiada satu yang tertinggal
sekiranya Ia menyiksa manusia atas lakunya
sehingga tempoh masa yang ditentukan
ketahuilah tiada terlambat dan terdahulu
walau sesaat pun tidak mungkin bagi-Nya.

Berpuisikah aku atau sekadar berpesan
agar sahabat berpegang pada tali-Nya
bersama kehidupan yang amat bernilai
mencintai Nya lebih dari yang dicintai
merindui Nya lebih dari yang dirindui
bukan ibu, bukan ayah, bukan suami,
bukan isteri, bukan anak
dan bukan jua harta kekayaan dunia
kerana semua itu pasti akan hilang
dan Dia-lah maha pengasih serta maha penyayang
dan Dia-lah yang pasti akan kekal.

Berpuisikah aku andainya mengingat hari kemudian
saat langit telah terbelah, saat bumi telah diratakan
setelah hancur segala gunung-gunung
dan setelah dilempar segala isinya
dan sekelian itu patuh kepada-Nya
dan ingatlah wahai sahabat-sahabatku
yang kanan adalah kebahagian bagi kita
dan yang punggung akan binasalah kita.

*ANTOLOGI PUISI DIALOG TELUK VI 2008 – LAMBAIAN TELUK
*TERSIAR 06.02.2009, Labuan FM

0 ulasan: