Sepulau Sekasih Kita

Karya: Norgadis Labuan

Sepulau sekasih menjunjung cita
menungkah langit menjulang hajat
berkubu bertapak memacak adab
memagar pertualang pembunuh minda
semangat menjalar ke tulang sulbi
menghembus sepoi meremuk sengketa
kancah nestapa terlerai sudah.

Sekasih menjalin untaian maruah
dewasa diri memancar cahaya
sirna dendam hasad kesumat
menghempas hancur menepis duka
tersemat janji menghakis derita
bulat tekad terbelah tidak.

Kita bersama kerana cinta
subur mekar disimbah jasa
terimbau igauan mutiara rasa
bersatu mengumpul cebisan makna
terlakar wajah ikhlas semata
menyalur ibadah arah tujuan
redha Pencipta rahmat dipinta.


26 Feb 2009
10.55 malam
ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009
RTM LABUAN FM  9 MAC 2012

Jubli Perak Labuan

Karya: Norgadis Labuan

Hari Wilayah kau datang lagi
mengimbau kenangan
saat kau bergelar Pulau Labuan
bersama jalan-jalan tanah kuning
menuju rumah-rumah kampung
dan dihiasi sekolah berdindingkan kayu
menuju ke Pekan Labuan
yang di temani bangunan lama
serta rumah kedai penghias pekan.

Hari Wilayah kau datang lagi
kali ini
membawa bersama jubli perak
25 tahun bergelar Wilayah
memancar bersama sinar harapan
membangun bersama kebanggaan rakyat
melahirkan anak-anak bistari
lantas menjadi tunggak negara
pemaju bangsa
dengan hiasan kemuncak harapan
disebalik ujudnya
Universiti, martikulasi dan sekolah bertaraf tinggi
menjadi tanda nama pembuka mata
mengangkat darjat wilayah Persekutuan Labuan
di pesana dunia
seiring dengan kedewasaannya.

Selamat menyambut Jubli Perak
Hari Wilayah Pesekutuan Labuan
Ke - 25 tahun.


ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009

Doa Seorang Ibu

Karya: Norgadis Labuan

Kala kulihat kedegilan anak-anakku
Wajahku basah dengan linangan air mata
Menahan marah dalam kesabaran
Menahan benci dalam keimanan
Namun aku insaf
dan hatiku berkata
wahai cahayamataku
aku ampunkan dosa kalian terhadapku
aku halalkan semua pemberianku
semoga kalian menjadi insan yang bersyukur.

Kalaku pandang karenah anak-anakku membesar
Ada ketikanya sabarku hilang
namun
pabila maha pencipta berkata
sesungguhnya Syurga itu dibawah telapak kakimu
aku gementar
lantas ku menangis dan berdoa
Ya Allah ampunkanlah semua dosa-dosa anak-anakku
Tunjukkanlah mereka ke jalan yang benar
Dan terimalah mereka masuk ke dalam Syurga-Mu.



10.01.2009 Sabtu
ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009

Ibu

Karya: Norgadis Labuan

Ketika kurenung saat lena ibuku
matanya yang terpejam itu
dan bibirnya yang bagai tersenyum itu
memanggil kenangan saat ibu terjaga.

Ibu membebel bising
tika mengejutkan ku
kerana malas bangun bersolat subuh
ibu membebel geram
kerana aku belum mandi pagi
sedangkan hari semakin cerah
ibu membebel separuh marah
kerana aku masih lagi menghadap komputer
sedangkan bas sekolah hampir tiba.

Aku masih ingat lagi
saat ibu marah-marah
kerana aku malas belajar
sedangkan peperiksaan sudah bermula
aku masih ingat lagi
saat ibu tidak membenarkan menyentuh komputer
kerana aku chat dengan kawan sampai pagi
aku masih ingat lagi
saat ibu rampas telefon bimbitku
kerana bil hampir satu ribu.

Tika ini kurenung ibu
ibu terus lena
matanya yang terpejam itu
akan terus terpejam
bibirnya yang bagaikan tersenyum itu
tidak akan membebel lagi
kerana ibu akan dibuai lena yang panjang
bersama mimpi indah-indah
dan meninggalkan aku yang masih jaga.


Ibu
aku rindu padamu
saat kau memelukku
dan mengusap rambutku
kerana aku dalam kesedihan
aku rindu padamu
saat kau memberi penawar
sewaktu ku sakit demam
aku rindu padamu
saat kau menanamkan kata semangat
sewaktuku putus cinta.

Ibu
maafkan aku
kerana belum sempat
membahagiakanmu
maafkan aku ibu.


23 dis 2008
ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009
RTM LABUAN FM 9 MAC 2012

Andainya Aku Jatuh Cinta

Karya: Norgadis Labuan

Ya Allah,
andainya aku jatuh cinta
cintakanlah aku kepada insan
yang melabuhkan bahtera cintanya pada-Mu
agar aku selamat dan terus mencintai-Mu.

Ya Allah
andainya aku jatuh cinta
ikatlah sauh cintaku
yang menyentuh lautan hati
agar aku tidak hanyut mencintainya lebih dari-Mu

Ya Allah
andainya hatiku termakan umpannya
izinkanlah aku berpaut pada pancing hatinya
pancing hati yang tertaut pada-Mu,
agar aku tidak jatuh ke dalam cinta samudera
dan berpaling dari hati-Mu.

Ya Allah,
andainya aku jatuh cinta
dan sering merinduinya
rindukanlah aku pada insan
yang merindui syahid di jalan-Mu.
dan jagalah rinduku padanya
agar aku tidak leka untuk terus
merindui mahligai syurga-Mu.

Ya Allah,
Andainya aku jatuh cinta
dan menikmati layar cinta kekasihku
bersama ombak yang mengasyikkan
jagalah kenikmatan itu
Agar tidak melebihi kenikmatan indahnya
bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu.


Tersiar: Jendela Sabah April 2009 / Labuan FM 2009
ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009

Waktu

Karya: Norgadis Labuan

Ini kali ke – empat aku ke sini
walau jarak masa
memakan dua puluh sembilan tahun lamanya
namun
aku sekadar menyampai hajat
bersilaturrahim dengan insan
yang pernah sepermainan denganku.

Dalam keindahan lampu malam
bersama rintik hujan
kami sempat makan bersama
dan dia
masih seperti dulu
seorang wanita pering
ramah dan mesra.

Terima kasih
Kerana memberiku waktu.


Mei 2005. Singapore
ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009

Seketika Di Masjid Nabawi

Karya: Norgadis Labuan

Seketika di Masjid Nabawi,
Dingin menyapa bersama hembusan penghawa dingin
Tenang rasanya membaca doa
Dibawah kubah yang begitu indah
Dihiasi lampu-lampu yang cukup menawan
Dan cukup menenangkan jiwa penghuninya

Seketika di Masjid Nabawi,
Entah kenapa
Kedengaran
Ada sedikit keriuhan di luar sana
Lantas
Ku tinjau lewat pintu 29
Satu keajaiban telah berlaku
Hujan batu menuruni Kota Madinah
Jatuh bagai guli-guli putih kecil
Menutupi marmar dan jalanraya disekitarnya.

Seketika di Masjid Nabawi,
Aku insan kerdil
Pertama kali melihat sebuah keajaiban
Bagaikan rahmat penguat semangat
Bagaikan nikmat peneguh ibadat
Maha suci Allah seru sekelian alam.


Madinah, Rabiulawal1426
ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009

Tekad

Karya: Norgadia Labuan

Atas nama tuhanku
aku berani menyusur malam
bergandingan
dengan insan asing
sibuk dan pantas
mengatur langkah sendiri
menghitung detik waktu
mengapai misi
menempis angkuh
memasung biadap.

Bertemankan zikirullah
aku ditebing malam
terus tekun
meneliti raut
mentelaah wajah
agar langkah terus mantap
bersama tekad yang satu.


Jeddah, 12 Rabiulawal 1426
ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009

Tak Sempat

Karya: Norgadis Labuan

Sayangnya aku tak sempat
menjejak kaki di tanahmu
aku hanya mampu
merenung lewat jendela kaca

Aku redha meski berharap
diberi masa
mengatur langkah
menghidu udaramu
bersama orang-orang itu.

Sayangnya aku tak sempat
kerana masa mencemburuiku
dan tugas mengejarku
dan aku terpaksa pergi
meninggalkan tanahmu
yang belum sempat ku injak.


Dubai,2005
ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009

Pertemuan

Karya: Norgadis Labuan

Telah empat belas tahun kita terpisah
terpisah oleh lautan yang luas
namun
simbahan rahmat dari yang esa
memberi kekuatan
untuk kita melangkah di jembatan waktu
mengingkap tabir masa
dan kita
masih lagi menggenggam tekad
menzahir wajah
dan merangkul pertemuan
yang menjanjikan sebuah kebahagian.



23 April 2005, Brunei DS
ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009

Al-Amin

Karya: Norgadis Labuan

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu
yang menciptakan manusia dari segumpal darah
Bacalah dengan nama Tuhanmu
yang mengajar manusia dengan perantaraan menulis dan membaca
dan Dialah yang maha mengetahui.

12 Rabiulawal Tahun Gajah
Bersamaan 20 April 570 Masihi
Aminah binti Wahab membawa sejarah
melahirkan cahayamata penutup para nabi dan rasul
Pembawa rahmat tidak bertepi
pembawa nikmat ke seluruh alam

Girangnya ibu bernama Aminah
Melahirkan anak dipagi nan dingin
Meski suami tiada disisi
Lantaran pergi menyahut pangillan ilahi
Namun dihati riangnya tidak terperi
Menamakan anak Muhammad Bin Abdullah
Sebagai cahaya penawar hati

Arab di Mekah telah menjadi saksi
Muhammad anak Abdullah
cucu kepada Abdul Muthalib
Keturunan keempat puluh
susur gaur dari Ismail anak Ibrahim
Bahawa kelahirannya sebagai yatim
Pembawa iman dan cahaya kebenaran

Terpancarlah Nur di Negeri Syam
Terang benderang disekitar alam
Lahirnya Muhammad nabi akhir zaman
Lantas terpadam api majusi
Tempat ibadat penyembah api
Sebuah gereja di Negeri parsi

Setelah Muhammad berusia enam tahun
Ibunya Aminah pula meninggal dunia
Kasihan sungguh si yatim piatu
Tinggallah ia bersama ibu susunya
bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya.

Alam remajanya penuh sederhana
keesaan Allah jadi pegangan setiap masa
menghindari kejahatan perkara biasa
As Saadiq yang benar
dan Al Amin yang amanah
Adalah amalan sifatnya yang mulia.



TERSIAR 09.03.2009, Labuan FM
ANTOLOGI PUISI SEPULAU SEKASIH KITA 2009