Wajah-Mu Di Mana-Mana

Karya: Norgadis Labuan


Bagaimana aku harus berani
sedangkan wajah-Mu
ada di mana-mana
ada di setiap pejamku
ada di setiap celikku.

Kuselami dasar laut
wajah-Mu tetap ada
kutembusi perut bumi
wajah-Mu tetap ada
kulari ke hujung dunia
wajah-Mu tetap juga ada.

Bagaimana aku harus berani
saat kusebut nama-Mu
bergetar seluruh jasadku
saat terpancar nur-Mu
terasa hancur berkecai tubuhku.

Maha suci Allah
seru sekelian alam.


(ANTOLOGI PUISI ANJUNG SERINDAI 2012)


Taubatku

Karya: Norgadis Labuan

Ya Allah
Ramadhan ini
aku datang kepada-Mu
bersama langkah
yang tiada daya dan upaya
yang tiada kekuatan
melainkan pertolongan-Mu

Ya Allah
Ramadhan ini
temanilah aku
dalam perjalanan ini
jagalah aku dan keluargaku
sesungguhnya aku memohon
keredhaan dan keberkatan-Mu
disetiap langkah kakiku

Ya Rabbi
Ramadhan ini
lindungilah aku dengan kalimah-Mu
sucikanlah hatiku dengan kata-kata-Mu
ampunilah segala dosa-dosaku
jauhilah aku dari azab-Mu
terimalah permohonan taubatku
di Ramadhan ini
kerana Kau maha pengampun
lagi maha penyayang
  
Maha suci Allah
yang mempunyai kemuliaan
dan kebesaran
hanya kepada-Mu tempatku mengadu

dan hanya kepada-Mu tempatku berharap.


Tersiar di RTM Labuan FM 27 Julai 2012

MASIH BOLEH BERSAMA


Karya:  Norgadis Labuan

Masih lagi kuingat
sewaktu kita berjuang
menerokai tempat ini bersama
membersih hutan belukar
agar menjadi kebun kebahagian
pembayar keletihan kita
pengubat luka yang tercalar.

Masih lagi kuingat
saat kita menyatukan anak-anak kita
di mahligai kayangan.
hasrat kita ditentang habis-habisan
kerana perbezaan
agama, bangsa dan kepercayaan.

Masih lagi kuingat
tika kita dicaci hina dan dibenci.
kita dipulaukan dan dihalau
dan akhirnya,
kita merantau bersama
sehingga sampai di pulau impian.

Masih lagi kuingat
dengan rasa susah payah
kita bangun bersama
dan mencipta sejarah
bahawa kita,

Masih boleh bersama
sebumbung
setanah
sepulau kasih
dalam erti kata
perpaduan.


Tersiar Labuan FM 9 Mac 2012



3 APRIL INI


Karya: Norgadis Labuan

Dalam pelarian waktu yang singkat ini
dan dikala mentari beradu di kaki langit
dan dikala usiaku yang semakin singkat
mampukah aku menganyam semangat
untuk kuhampar tikar harapan
agar aku terus bisa memeluk puteri-puteriku
dan mengucup mesra tangan suamiku
sebelum aku dibungkus rapi
dengan selendang putih peneman diri

3 april ini
kulakarkan sebuah puisi
bukan sebagai hamba seni
bukan jua meminta simpati
namun
aku kini mula sedar dari kealpaan
setelah cuba menelaah diri
bertapa rentetan perjalanan  hidup
mula menghimpit bersama dosa-dosa lalu
sakit dan perit
bagai luka berdarah merah

Dalam pelarian waktu yang singkat ini
masih adakah ruang untukku
menghimpun indahnya zikrullah
melagukan ayat-ayat suci-Mu
menggengam mahligai iman
bersama kejernihan air mata taubatku
sebagai pengiring menyahut seruan-Mu.




03 April 2011
12.39 pagi