Surau Kecil

Karya: Norgadis Labuan

Kedengaran azan maghrib berkumandang
kenangan tiga puluh tahun yang lalu
menyapaku
saat anak-anak bersedia
menikmati hidangan berbuka puasa
keceriaan terpamir nyata.

Surau kecil itu
melimpah keluar oleh jemaah
solat terawih berjalan sempurna
lantang kedengaran suara orang bertadarus
anak-anak patuh
mengikut rentak.

Hari ini
kulihat
azan maghrib sudah lama berlalu
namun
anak muda masih leka
bermain gitar di perhentian bas
bersembang kosong di tepi jalan.

Surau kecil
diisi usia emas yang taat
masih bersama berbuka puasa
berterawih dan bertadarus.

Kemana perginya kesetiaan?
kasih sayang yang diwarisi
mencintai agama
merindui tuhan yang satu
menyayangi surau kecil
yang pernah

kami dirikan satu ketika dulu.



Tersiar di Labuan FM 26 Julai 2013

Kasih Yang Hilang

Hasil Karya: Norgadis Labuan

Ramadhan ini
mengingatkan aku kepadanya
dulu aku sering dibelai.

Tika kumenangis
tangan lembut mengusap pipiku
tangan lembut jua menyikat rambutku.

Tiada keluhan
tiada kemarahan
dia
tersenyum memandang wajahku
dan terpenjara disudut memoriku.

Aku bingung
apakah engkau sudah tiada
apakah kasih sudah hilang
atau akukah yang buta
asyik pandang wajah serupa
tapi berbeza lakunya.

Tika dulu
Kalau kita berbuka puasa bersama
nasi disuapkan ke mulutku
rasa cinta dulu menebal dihatiku
segalanya terbayang sungguh indah.

Gerhana  mendatang
gagah kelihatan
gelap gulita
hujan menyiram hatiku
dingin dijiwa.

Insan sepertiku
tidak mampu keserongan
sendiri sakit terasa
sayang entah ke mana
saling berbeza dari kenyataan yang nyata.

Apakah kau bukan dia
apakah kau tiada cinta
apakah kau tidak merasa
bahawa aku masih berharap.

Nostalgia tinggal memori
di saat negara semakin maju
ibu ayah seperti tiada masa
namun anak-anak seperti aku
kian terabai
dan aku
bersendirian menjalani ramadhan ini.



Tersiar di Labuan FM 26 Julai 2013

RAMADHAN TERAKHIR

Karya: Norgadis Labuan

Tidakkah kau lihat
bertapa sayunya sya’aban meninggalkanku pergi
dan kini
Ramadhan pula menyapa diri.

Apakah Ramadhan juga akan meninggalkan aku
atau aku yang akan meninggalkan Ramadhan
bersama syair rindu yang syahdu mendayu
mengiringi pemergian sebuah hati sepi.

Andaiku tahu ini Ramadhan terakhirku
tak kan kubiarkan siangku tanpa zikir memuji-Mu
tak kan kubiarkan malamku tanpa sujud kepada-Mu
tak kan kubiarkan subuhku tanpa memohon keampunan terhadap-Mu.

"Innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam.

Namun
aku tak pernah tahu
apakah setiap nafas yang kusedut
dan setiap nafas yang kuhembus
setiap langkah kakiku
dan setiap pandanganku
akan mengisi hari-hari akhir
andainya Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagiku.

aku hanyalah insan biasa yang serba kekurangan
dan aku hanya mampu berserah kepada-Nya
agar Ramadhan ini bukannya yang terakhir buatku.

Tersiar Di Labuan FM 12.07.2013